Archive for the ‘50th Merdeka Postings in Malay’ Category

 

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaanmu yang ke-50!

Haraplah anda kian membangun dengan hebatnya dan sentiasa menjaga kebebasan dan keharmonian rakyat kita serta keunggulan dan keistimewaan negara kita!

aku haruslah minta diri daripada menyambut hari gemilang esok kerana malam ini ku akan pergi ke Singapura dengan mengikuti bas Airebus.

Ish… apa yang ku buat kat Singapura, anda semua mesti fikir… Jangan bimbang, aku ni bukannya nak hijrah ke Singapura… tak… saya akan mewakili majalah online saya untuk sidang akhbar ‘Heroes’! Saya akan menemu ramah Masi Oka, Ali Larter, Greg Grunberg dan Sendhil Ramamurthy, merekalah antara pelakon-pelakon yang akan hadir di Singapura esok!

Weeee!!! Seronoknya!!!

The image “https://i0.wp.com/www.heroestheseries.com/stills/heroes-world-tour-1.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

 

Saya tau pos ini tak ada kena-mengena dengan Hari Kebangsaan tahun ini, namun saya ingin beri sepatah dua kata terhadap laporan di Harian Metro ini.

Setelah saya baca artikel ini, saya memang tak percaya bahawa pihak Harian Metro ini adalah orang-orang yang begitu tak tau malu dan berani berkata mereka patut dipelawa masuk untuk menyertai upacara perkahwinan artis Malaysia Natasha Hudson. Walaupun Natasha adalah salah seorang celebriti, tapi itu tak patut beri wartawan Harian Metro alasan untuk cuba masuk ke dalam Carcosa Seri Negara untuk membuat liputan berita!

Natasha Hudson yang dituduh tak kenang budi pihak media kerana tidak membenarkan mereka membuat liputan akhbar upacara perkahwinannya.

Natasha dan suaminya dah memberi amaran kepada pihak media bahawa mereka tidak diundangi menghadiri upacara ini kerana ia hanya untuk keluarga dan rakan-rakan karib mereka sahaja. Pihak yang tidak berkenaan langsung tidak dibenarkan hadir. Tapi nampaknya, pihak Harian Metro ini tidak faham arahan dan  masih mengunjungi ke tempat perkahwinan tersebut diadakan. Memang tak tau malu! Siapa yang beri alasan untuk mereka berada disitu? Kalau Natasha dan suaminya tak mau perkahwinan mereka dipaparkan dalam akhbar, itu adalah hak mereka! Mereka bukannya terkenal seperti Siti Nurhaliza!

Ini adalah upacara tertutup, pihak media patutlah menghormati keinginan Natasha dan suaminya untuk berkahwin dengan aman bersama-sama keluarga dan rakan-rakan mereka yang tersayang. Tapi, Harian Metro pula pergi mencaci Natasha dan suaminya dengan menuduh Natasha “tidak kenang budi”.

Bilakah Natasha pula yang berhutang kepada pihak media seperti Harian Metro yang hanya tau memperbesarkan isu-isu yang tak berkualiti? Saya tau Natasha takkan jadi begitu terkenal kalau media tidak membuat publisiti untuknya tapi untuk mereka berkata bahawa Natasha takkan menjadi terkenal kalau bukan jasa pihak media mereka adalah salah. Natasha menjadi terkenal adalah atas kerajinan dan kebijaksanaan dia sendiri dan bukannya dia hutang mana-mana pihak! Dia dah berkerja dengan bersungguh-sungguh untuk sampai di pentas hiburan ini dan menyalahkan  dia memanglah tak adil!

Isu seperti inilah, yang membuat saya amat benci pihak media Melayu. Mereka ini ingat mereka raja media dan apa-apa yang dimintai mereka patutlah ditunaikan segera. Bagiku, mereka ini sombong, kurang ajar dan berotak cetek! Nasib baik bukannya semua pihak media Melayu adalah begitu, tapi bagiku, Harian Metrolah salah satu daripada mereka yang tak tau dengar arahan dan ingat mereka boleh buat sesuka hati mereka sahaja.

Kalau saya, sebagai orang luar yang tak dikenali datang tanpa diundangi untuk upacara perkahwinaan wartawan Harian Metro ataupun perkahwinaan anak mereka dan mengambil gambar sesuka hati dan paparkan gambar-gambar di laman Internet, tengoklah kalau mereka suka!

Hormatilah orang sikit, wartwan Harian Metro yang dibencikan, walaupun mereka itu celebriti kerana celebriti itu masih adalah orang yang ada hak mereka sendiri! Kurang ajar betul! Buat aku geram saja! 

Setiap negara yang merdeka mestilah mempunyai satu lagu kebangsaan negara – satu lagu yang menyatukan rakyatnya dan merangsangkan semangat patriotisme dan rasa bangga terhadap negara.

Bagi Malaysia, lagu yang menjadi lagu negara adalah lagu NEGARAKU, yang mempunyai asal usul yang unik! Mana tau lagu ini mempunyai irama yang amat hampir sama dengan lagu 1940-an yang bertajuk “Mamula Moon”!

Berdiri tegak dan nyanyilah lagu NEGRAKU dengan bangga!

Saya harap kita semua yang menggelar diri kita sebagai rakyat Malaysia masih tau lirik dan irama lagu ini, amatlah malu kalau ada di antara kita yang sudah lupa macam mana nyanyi lagu kebangsaan kita. Ingat, apabila dengar lagu ini dimainkan bila-bila dan mana-mana saja, haruslah semua berdiri tegak untuk menghormati lagu ini. Janganlah sibuk bercakap dan bergerak sesuka hati sewaktu lagu ini dimainkan, nanti orang lain akan tegur awak seorang yang tidak berhemah!

Ingat, ya!

Haraplah anda semua mengambil masa untuk berdoa agar mangsa-mangsa yang terlibat dalam runtuhan jambatan yang ngeri di Minnesota itu dalam keadaan yang selamat. Walaupun tragedi ini memang tidak dijangka sama sekali oleh ribuan pengguna jambatan ini, namun, masalah-masalah yang dihadapi oleh jambatan berumur lebih kurang 40 tahun ini telah muncul sejak tahun 1990 dan dalam laporan 2005.

Ini patut menjadi teladan kepada pihak-pihak berkuasa di Malaysia yang sering menghadapi masalah-masalah infrastruktur terhadap bangunan-bangunan yang mereka bina. Tidak boleh dinafikan bahawa mereka yang menjalankan tugas membina apa-apa jua bangunan dan infrastruktur awam haruslah sering menjalankan pemeriksaan yang rapi setiap tahun supaya masalah yang lebih serius tidak timbul. Keselamatan orang-orang awam haruslah dipentingkan!

Saya pasti kita semua tidak mahu tragedi Highland Towers yang berlaku kira-kira lebih 10 tahun dulu tu diulangi, kan? Apatah lagi desas-desus yang saya pernah dengar oleh kawan-kawan saya di Pulau Pinang tentang keselamatan Jambatan Pulau Pinang kita. Harap-harap kerja pemulihan dan pemeriksaan telah dijalankan secara rapi, saya pasti tidak mahu Jambatan Pulau Pinang kita yang nampak begitu teguh dan gagah tiba-tiba runtuh ke dalam laut pada masa depan!

Kita semua memang patut bantu menbangunkan negara Malaysia, tapi janganlah sampai kita mengabaikan kualiti dalam usaha mengejar kejayaan dan kekayaan!

Apa khabar sekalian? Harap baiklah, ya! Ribuan terima kasih kepada saudara-saudari yang telah menyampaikan e-mel kepada saya untuk menyokong saya dalam usaha saya untuk memblog (ada ke perkataan ini dalam Kamus Dewan??) dalam Bahasa Malaysia sepanjang bulan kemerdekaan yang riang dan penuh aktiviti ini! Nasib baik tak da orang yang membantah usaha saya ini yang ikhlas… kalau ada, habislah motivasi saya!

Hari ini, saya ingin membincang tentang satu perkara yang pasti membuat anda fikir sepanjang hari dan malam pada bulan ini. Haraplah soalan ini akan menyebabkan saudara-saudari semua lihat ke dalam hati anda dan tanya diri anda soalan yang sama.

Okey, soalan saya ini ialah – Tahukah anda apa makna sebenarnya apabila seseorang itu menggelar dia sendiri seorang anak Malaysia? Apakah sebernarnya seorang anak Malaysia? Apakah nilai-nilai yang harus seseorang anak Malaysia perlu ada untuk layak menggelar diri mereka seorang anak Malaysia?

Ok, maaf… kata satu soalan dah jadi tiga pula! Jangan sakit kepala ya!

Tapi ini memang benar. Bagiku, seorang anak Malaysia bukan sekadarnya seseorang yang lahir di Malaysia dan secara automatik menjadi warganegara Malaysia. Ada perbezaan besar maksud di antara seorang warganegara Malaysia dan seorang anak Malaysia.

Dah banyak kali saya menyoal saya sendiri sama ada saya memang seorang anak Malaysia atau sekadar seorang warganegara Malaysia yang hanya lahir di sini dan menempat di negara ini. Adakah saya telah memenuhi apa-apa kriteria yang seseorang perlu memenuhi sebelum dia layak menggelar dirinya anak Malaysia. Itulah masalahnya – sebenarnya, apakah kriteria yang perlu saya penuhi? Ada tak kriteria? Ada tercatat ke dalam Perlembagaan Negara apa dia kriteria untuk seseorang yang ingin menjadi seorang anak Malaysia?

Sebenarnya, terpulanglah kepada seseorang sendiri apa pendapat mereka terhadap isu ini. Tak ada pendapat yang salah ataupun betul, hanya ada pendapat yang logik ataupun tak logik. Adakah seseorang itu salah kalau pendapat mereka seseorang anak Malaysia itu ialah seseorang yang telah memenuhi kewajipan mereka sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi dalam pilihan raya? Tidak – itu memangnya salah satu tanggungjawab kita sebagai seorang anak Malaysia untuk menjadi seorang pengundi dalam pilihan raya Malaysia. Namun begitu, sekadar mengundi saja tidak cukup.

Ada banyak lagi perkara yang harus di masuk kira. Bagiku, antaranya adalah tahukah anda secara lanjut isi kandungan Perlembagaan Negara Malaysia, atau masih tahu tak lirik-lirik lagu negara, atau lafaz Ikrar Malaysia dari memori? Ataupun memastikan kebersihan alam sekitar Malaysia, menjaga harta benda awam negara, memandu dengan cermat di jalan raya bukan saja untuk memastikan keselematan sendiri, tapi juga keselematan orang-orang lain, faham mana-mana kelemahan negara supaya dapat memperbaiki kelemahan itu dan memulihkan imej baik negara, menghormati adat resam dan adat istiadat bangsa dan agama orang lain, dan banyak, banyak lagi.

Sanggupkah anda menumpah darah demi mempertahankan kemerdekaan dan maruah negara? Sanggupkah anda melepaskan kekayaan dan kejayaan anda demi melakukan sesuatu yang meningkatkan imej negara dan mengharumkan negara? Sanggupkah anda mementingkan keadaan negara lebih daripada mementingkan keadaan sendiri?

Seorang Anak Malaysia itu bukan sekadar seseorang yang mengibarkan bendera negara apabila tiba masa menyambut bulan kemerdekaan.

Seorang Anak Malaysia itu bukan sekadar seseorang yang memiliki kad pengenalan biru yang dimiliki oleh semua warganegara Malaysia.

Seorang Anak Malaysia itu bukan sekadar seseorang yang fasih bertutur dan menulis dalam Bahasa Malaysia.

Seorang Anak Malaysia itu lebih daripada semua yang dinyatakan di atas. Maksud seorang Anak Malaysia itu, lebih dalam lagi.

Jadi, bolehkah anda dengan sejujurnya, dengan seikhlasnya, dengan bangganya… mengakui diri sebagai seorang Anak Malaysia?

Saya tidak berani menggelar diri saya seorang anak Malaysia kerana saya rasa diri saya masih belum sampai peringkat di mana saya boleh, dengan setulus dan seikhlas hati, menggelar diri saya seorang Anak Malaysia.

Bagiku, pahlawan-pahlawan kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr Ismail, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambathan dan yang lain-lain lah, yang baru boleh mengakui diri mereka sebagai seorang ANAK MALAYSIA!

mulai hari ini hingga ke Ogos 31, aku akan mencatatkan kisah-kisahku dalam blog ini dalam bahasa negaraku, Bahasa Malaysia. Kepada peminat-peminat and pembaca-pembacaku dari luar negara yang mungkin tidak faham Bahasa Malaysia, harapkan anda boleh guna kamus laman web ini untuk membantu anda faham sedikit tentang apasaja yang aku tulis.

Negara Malaysia, negara tanahair yang kusanjungi, akan menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada Ogos 31, 2007. Untuk mengetahui tentang sejarah Malaysia dengan selanjutnya, silalah buat rujukan sendiri di  Wikipedia ke atau mana-mana laman web yang akan menceritakan segala-galanya kepada anda yang meminati sejarah. (Biar saya mengambil peluang ini untuk mengakui bahawa saya tidak begitu meminati sejarah negara saya sendiri walaupun aku sangat minat terhadap sejarah dunia. Sewaktu ku bersekolah dulu, sejarah merupakan mata pelajaran yang palingku benci… kecuali bahagian di mana kita belajar tentang sejarah dunia dan perang-perang dunia!)

Walaupun saya pernah dituduh tidak patriotik atau tidak mencintai negara Malaysia ini atas alasan saya telah membuat perbandingan antara kebaikan dan kelemahan Malaysia dengan negara jirannya Singapura dan telah memuji Singapura, sebenarnya, saya memang amat menyanjungi negara Malaysia ini. Saya masih percaya bahawa Malaysia boleh mencapai kecemerlangan yang lebih lagi dan harap ia akan menjadi negara yang amat dicontohi dalam pentas antarabangsa. Namun begitu, saya tidak begitu suka akan kerajaan Malaysia yang masih dipenuhi oleh ahli-ahli politik yang masih berperangai kebodoh-bodohan and kebudak-budakkan. Kalau perubahan tidak dibuat untuk menendang keluar semua ahli politik yang tidak menjalankan tugas mereka dan sibuk membuat perkara yang hanya memalukan mereka sendiri and mencemarkan imej negara, saya tidak begitu pasti Malaysia akan mencapai matlamat-matlamatnya.

Bagi saya, itulah hanya salah satu perkara yang kubenci tentang Malaysia. Tetapi, saya tidak akan mengutuk negara saya sepanjang bulan ini. Saya hanya akan menulis pandanganku sebagai seorang anak Malaysia, cita-citaku untuk negara ini dan kisah-kisahku seharian yang lepas dan yang akan datang yang saya fikir membuat Malaysia lain daripada negara lain. Ada kisah yang membuatku geram, membuat kusedih, tapi juga ada perkara-perkara yang membuat aku bangga dan gembira.

Harap-harap peminat dan pembaca laman blog aku ini akan menyokongi aku sepanjang bulan ini dalam misi saya untuk menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama blog ini.

Selamat membaca!